Semua orang
Islam rasa ragu-ragu adakah berpuasa sunat Jumaat dibenarkan oleh Islam atau
pun tidak?
Hadis:
Puasa Jumaat
Daripada Abu Hurairah RA, Nabi Muhammad SAW berkata yang bermaksud: “Jangan
kamu khaskan malam Jumaat dengan solat yang berbeza daripada malam-malam yang
lain dan jangan kamu khaskan hari Jumaat dengan puasa yang berbeza daripada
hari yang lain kecuali jika ia jatuh pada hari yang seseorang kamu berpuasa
padanya.” (Riwayat Muslim)
Daripada Abu Hurairah RA, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bemaksud: “Janganlah
seseorang kamu berpuasa pada hari Jumaat kecuali dengan berpuasa sehari sebelum
atau sehari selepasnya.” (Riwayat Bukhari & Muslim)
Daripada Abdullah bin Amru, Nabi Muhammad SAW pergi ke rumah Juwairiyah binti
Al-Harith dan mendapati dia berpuasa pada Jumaat. Maka Baginda SAW
bertanya: “Adakah engkau berpuasa semalam?” Jawabnya: Tidak. Baginda SAW
bertanya lagi: “Adakah engkau mahu berpuasa esok?” Jawabnya: Tidak. Baginda SAW
pun berkata, “Kalau begitu berbukalah.” (Riwayat Bukhari)
Hadis: puasa Sabtu
Daripada Abdullah bin Busr daripada kakaknya Al-Samma’, Nabi Muhammad SAW
bersabda yang bermaksud: “Jangan kamu berpuasa pada hari Sabtu kecuali dalam
apa yang difardukan (diwajibkan) atas kamu, dan jika sekiranya seseorang kamu
hanya mempunyai kerak anggur atau tangkai pokok maka hendaklah ia
mengunyahnya.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, Tirmizi, IbnuMajahdan Al-Darimi. Imam
Al-Tirmizi menghasankannya manakala Syeikh Al-Albani mensahihkannya dalam
Irwaa’ Al-Ghalil hadis no. 960)
Daripada Umm Salamah, Rasulullah SAW berpuasa pada Sabtu dan Ahad lebih
daripada hari yang lain dan Baginda SAW berkata: “Kedua-duanya adalah hari raya
orang Musyrikin, maka saya suka menyelisihkan mereka.” (Riwayat Ahmad dan
didaifkan oleh Syeikh Al-Albani dalam Silsilah Dha’ifah hadis no. 1099)
Kesimpulannya, dapat dikatakan berpuasa pada Jumaat adalah dilarang kecuali:
Dengan berpuasa sehari sebelumnya (Khamis); atau, Sekiranya ia menepati adat
puasa seseorang itu.
Perbincangan puasa Sabtu
Terdapat perbezaan pendapat ulama tentangnya. Ada yang mengatakan: Ia harus,
sama seperti puasa Selasa dan Rabu. (Pendapat Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah)
Harus, dengan syarat ia tidak dilakukan secara ifrad (dengan berpuasa pada
Sabtu sahaja) dan hendaklah dengan berpuasa sehari sebelum (Jumaat) atau sehari
selepasnya (Ahad).
Ia dilarang kecuali dalam puasa fardu. (Pendapat Syeikh Al-Albani rahimahullah)
Syeikh Al-Albani rahimahullah, ulama dalam bidang hadis secara khasnya di dalam
kitabnya berjudul Tamam Al-Minnah (halaman 405-408) menyimpulkan, hadis yang
menyebut larangan berpuasa pada Sabtu (hadis nombor 4) adalah sahih.
Walaupun ada ulama yang mendaifkannya, tetapi jalan riwayatnya saling
menguatkan antara satu sama lain sehingga menjadikannya sahih tanpa keraguan
padanya.
Adapun alasan berpuasa pada Sabtu hanya dilarang jika ia dilakukan secara ifrad
(dengan berpuasa pada Sabtu sahaja), Syeikh Al-Albani rahimahullah melihat
alasan ini tertolak dengan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Kecuali
dalam apa yang difardukan atas kamu” dalam hadis nombor 4 di atas.
Sepertimana dijelaskan oleh Ibnu Al-Qayyim dalam Tahziib Al-Sunan, larangan
berpuasa pada Sabtu meliputi semua jenis puasa sunat pada hari tersebut tidak
kira sama ada puasa sunat itu dilakukan pada Sabtu sahaja atau dilakukan dengan
disertai dengan berpuasa sehari sebelum atau selepasnya.
Kalaulah benar yang dilarang adalah puasa Sabtu secara ifrad sahaja pasti Nabi
Muhammad SAW menyatakan, jangan berpuasa pada hari Sabtu kecuali dengan
berpuasa sehari sebelum atau sehari selepasnya seperti mana yang dinyatakan
dalam puasa hari Jumaat (hadis no. 2).
Bagaimanapun, bagi menghimpunkan antara hadis larangan berpuasa pada Sabtu
(hadis no. 4) dan hadis yang mengharuskannya (hadis no. 2 dan 3), Ibnu
Al-Qayyim menyimpulkan apa yang dilarang adalah berpuasa pada Sabtu secara
ifrad.
Dalam hal ini, Syeikh Al-Albani rahimahullah melihat kesimpulan ini tidak
mungkin kerana:
Ia jelas menyalahi hadis larangan berpuasa pada Sabtu (hadis no. 4) yang hanya
memberi pengecualian pada puasa fardu.
Terdapat cara lain yang boleh digunakan bagi menghimpunkan hadis ini iaitu
dengan menggunakan kaedah-kaedah usul fiqh yang telah digariskan oleh golongan
ulama. Antaranya:
Sekiranya satu dalil yang melarang bertembung dengan dalil yang mengharuskan;
dalil yang melarang akan didahulukan.
Sekiranya satu dalil kata-kata Nabi Muhammad SAW bertembung dengan dalil
perbuatan Baginda SAW; Dalil kata-kata Baginda SAW akan didahulukan.
Berdasarkan kaedah ini, hadis larangan berpuasa pada Sabtu (hadis no. 4) perlu
didahulukan kerana ia larangan manakala hadis nombor 2 dan 3 adalah
pengharusan.
Begitu juga dengan hadis perbuatan Nabi Muhammad SAW yang banyak berpuasa pada
Sabtu dan Ahad (hadis no. 5), sekiranya hadisnya sahih, dalil kata-kata Baginda
SAW yang melarang berpuasa pada Sabtu juga perlu didahulukan berdasarkan kaedah
usul fiqh: dalil kata-kata perlu didahulukan atas dalil perbuatan.
Bagaimanapun, sepertimana yang dijelaskan Syeikh Al-Albani rahimahullah, hadis
nombor 5 ini adalah lemah.
Kesimpulan puasa Sabtu
Kesimpulannya, Syeikh Al-Albani rahimahullah, berpuasa hari Sabtu dilarang sama
ada dilakukan secara ifrad mahu pun dengan berpuasa sehari sebelum atau
selepasnya. Tetap dilarang walaupun Sabtu itu adalah Hari Arafah (9 Zulhijjah)
atau Asyura’ (10 Muharram) kerana jelas keduanya bukan puasa fardu.
Hal ini sama dengan larangan berpuasa pada Isnin dan Khamis sekiranya Hari Raya
Aidilfitri jatuh pada satu daripada hari tersebut. Ini berdasarkan hadis
daripada Abu Hurairah RA: “Baginda SAW melarang berpuasa pada dua hari iaitu;
Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
sumber: Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan