iklan

Banglo untuk 10 beranak

Melaka: Simpati dengan nasib Muhamad Hafiz Abd Ghani, 17, yang maut dibelasah bapa kandung dengan kayu selepas menyatakan hasrat mahu mencari pekerjaan bagi menanggung makan minum sembilan adiknya, pelbagai pihak tampil menghulurkan sumbangan kepada keluarga itu.

Terbaru, Pertubuhan Kebajikan Warga Ceria Kuala Lumpur dan Selangor menawarkan bantuan untuk 10 beranak itu tinggal di sebuah banglo pertubuhan itu di Kuala Kubu Baru, Selangor selain membiayai perbelanjaan persekolahan sembilan beradik berkenaan.

Presidennya, Che Maslina Usop, 47, berkata, bantuan itu bagi membantu ibu mangsa Siti Habibah Ismail, 38, untuk menjaga sembilan anaknya Muhd Azim, 16; Muhd Azmir, 14; Nurul Aini, 13; Nurul Syafina, 12; Nurul Amira, 10; Nurul Maisara, 8; Nurul Maizati, 7; Nurul Syafika, 5; dan Siti Aishah, 4.

 “Banglo itu pemberian ibu kepada saya dan ia tidak diduduki sejak 2005, malah ibu sebelum ini bercadang menjadikannya rumah anak yatim, pusat tahfiz atau tempat membantu golongan memerlukan.

“Selepas membaca kisah menimpa arwah (Muhamad Hafiz) dan keluarganya, saya serta adik-beradik lain di bawah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ini bertekad membantu,” katanya ketika ditemui di rumah mangsa di Kampung Jawa, di sini, semalam.

Menurutnya, dia bersama kakaknya, Japiah, 50, sanggup datang dari Kuala Lumpur dan mencari rumah inap desa didiami keluarga berkenaan bagi menyatakan hasrat terbabit selain menyerahkan sumbangan keperluan harian.

“Saya mempunyai 12 adik-beradik dan pernah hidup susah kerana ayah dulu bekerja sebagai pemandu lori, jadi kami faham apa yang dialami mereka,” katanya.

Sementara itu, Siti Habibah berkata, tawaran mendiami rumah berkenaan akan dipertimbangkan dan dia akan berbincang terlebih dulu dengan keluarga angkat arwah Muhamad Hafiz sebelum membuat sebarang keputusan.

Selain pertubuhan itu, keluarga malang berkenaan juga menerima kunjungan dan bantuan dari pelbagai pihak yang bersimpati dengan nasib menimpa mereka.
CHE Maslina (empat dari kanan) ketika menziarahi 10 beranak di Kampung Jawa, semalam.

Sumber : hmetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan