Ximhungwe (Afrika
Selatan): Sanele Masilela, murid berusia sembilan tahun, menjadi pengantin
lelaki paling muda di dunia sekali lagi selepas berkahwin untuk kali kedua
dengan wanita berusia 62 tahun minggu lalu. Mereka pernah berkahwin kali
pertama tahun lalu.
Dengan berpakaian tuxedo,
Sanele menggengam tangan ibu lima anak, Helen Shabangu, ketika mereka
mengulangi ikrar perkahwinan yang dibuat tahun lalu di depan 100 tetamu. Murid
sekolah itu berkata, dia mengadakan majlis itu sekali lagi kerana mahu
menjadikan perkahwinannya rasmi.
Bagaimanapun, sebahagian
penduduk kampung di Ximhungwe, daerah di Mpumalanga, Afrika Selatan,
menyifatkannya sebagai ‘meloyakan.’ Majlis itu diadakan di depan suami Helen,
Alfred Shabangu, 66, yang turut hadir pada majlis yang diadakan tahun lalu.
Alfred berkata: “Anak saya
gembira kerana kami tidak mempunyai masalah dengan isteri saya berkahwin dengan
budak itu. Dan saya tidak peduli apa orang lain kata.” Kedua-dua keluarga
mendakwa perkahwinan itu hanya satu lagi ritual selepas Sanele kononnya didatangi
roh nenek moyang bapanya yang memberitahunya supaya berkahwin tahun lalu.
Ibu bapanya memberi
hantaran RM2,500 kepada pengantin perempuan dan RM5,000 lagi untuk mengadakan
majlis tahun lalu.
Murid berkenaan, anak
bongsu daripada lima beradik berkata, dia mengadakan satu lagi majlis kerana
mahukan perkahwinannya dibuat secara rasmi mengikut tradisi masyarakat
setempat.
“Saya gembira berkahwin
dengan Helen. Tetapi saya tetap akan meneruskan sekolah saya. Apabila dewasa
kelak, saya akan mengahwini wanita seusia saya.
“Saya gembira memilih
Helen kerana saya cintakannya. Walapun kami tidak sentiasa tinggal bersama,
kami sering bertemu di tempat pelupusan sampah, tempat ibu dan dia bekerja,”
kata Sanele.
Helen yang mengenakan
pakaian serupa yang dipakainya pada majlis tahun lalu berkata: “Saya gembira
dipilih oleh Saneie dan keluarga saya menyokong dan memahami apa yang berlaku.
Ini hanya untuk membuat nenek moyang kami gembira.
“Tak ada yang lain
berlaku.” Ibu Sanele, Patience Masilela, 47, berkata, anaknya gembira dengan
majlis tahun lalu dan mahukan majlis itu diadakan sekali lagi. “Dia tidak malu,
malah gembira dapat berkahwin dengan Helen. Kami bimbang jika tidak mereka
tidak berkahwin, keluarga kami akan ditimpa masalah,” katanya. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan